mujahidah fisabilillah

mujahidah fisabilillah

Saturday, January 8, 2011

Kisah Benar Peristiwa Memali (Ust Ibrahim Libya)

Kisah Benar Tragedi Memali ( Ustaz Ibrahim Libya )


Tanggal 19 Nov 1985, Kg. Memali, Mukim Siong, Baling, Negeri Kedah Darul Aman di bumi Malaysia menjadi saksi satu tragedi yang sangat dahsyat dalam sejarah tanah air. Lebih 3000 anggota keselamatan dihantar oleh pihak pemerintah daripada regim Barisan Nasional untuk melakukan aksi penangkapan ke atas seorang tokoh ulama’ yang bersama di dalam Gerakan Islam di Malaysia iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Beliau yang mesra dengan panggilan Ust. Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud merupakan pendakwah tanah air yang sebelumnya pernah berkhidmat bersama Pusat Islam Malaysia. Beliau yang telah sekian lama bersama PAS akhirnya mengambil keputusan meninggalkan Pusat Islam bagi meluaskan lagi ruangnya memberikan perkhidmatan kepada Parti Islam walaupun khidmatnya sangat diperlukan oleh Pusat Islam sehingga beliau pernah dii’tiraf sebagai pendakwah terbaik.

Dengan suaranya yang lantang dan tegas menghadapi kezaliman-kezaliman pihak pemerintah ketika itu yang diketuai oleh Perdana Menteri Tun.Dr Mahathir bin Mohamad, setiap majlis-majlis pidatonya pasti dihadiri oleh ribuan pendengar dikalangan penyokong dan pendokong gerakan Islam. Internal Security Act (ISA) yang dikuatkuasakan oleh pemerintah adalah merupakan diantara perkara yang sangat kuat ditentang oleh beliau selain dari sikap pemerintah yang dilihat tidak memandang Islam sebagai ‘Aqidah Negara serta jalan penyelesaian masalah ummah. Ditambah lagi dengan peribadi pemerintah yang dicemari amalan korupsi dan sebagainya membuatkan Ust Ibrahim begitu bersungguh dalam memberi semangat kepada ahli PAS agar berazam untuk membuat perubahan dalam kepimpinan Negara.
Sokongan dan dokongan kuat dari ribuan umat Islam di Malaysia yang mencintai perjuangan Islam menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada pihak pemerintah. Ianya begitu menakutkan mereka yang mengimpikan kekuasaan dapat dipegang selama-lamanya. Akhirnya, pelbagai tuduhan, fitnah dan label-label jahat dilemparkan kepada PAS khasnya Ust. Ibrahim Libya. Alasan-alasan dicipta bagi membolehkan pihak pemerintah dengan mudah menangkap Ust. Ibrahim. Kerjasama antara pemerintah dengan pihak keselamatan mula dilakukan dengan hebat.

Menjelang operasi penangkapan, Kg.Memali dipantau dan dikepung hampir seminggu lamanya. Pertambahan bilangan anggota keselamatan dari sehari ke sehari persis ingin menghadapi satu bala tentera musuh yang besar atau pengganas yang sangat merbahaya yang diperlukan segera. Cerita-cerita karut yang direka mengenai kegiatan Ust. Ibrahim dan pengikutnya di Kg. Memali disiarkan di dada akhbar bagi mengelabui mata orang awam. Ust. Ibrahim yang istiqamah mengajar anak-anak muridnya dikalangan orang tua dan anak muda di Madrasah yang dibinanya dimaklumkan mengajar fahaman salah dan sesat. Semuanya berlaku dalam tempoh menjelang operasi.

Sangat dahsyat. Tanggal 18 Nov 1985, hampir segenap penjuru kampung telah terkepung, dibimbangi ada sasaran yang terlepas keluar. Penduduk Kg. Memali yang begitu setia bersama guru mereka terus bermunajat kepada Allah memohon keselamatan dan bantuan. Persiapan persenjataan ala kadar dengan senjata ‘orang kampung’ disediakan kerana bagi mereka mempertahankan diri dan nyawa yang diancam adalah satu kewajipan yang sangat besar. Namun apalah sangat dengan senjata ‘orang kampung’ berbanding pihak pemerintah yang mengahantar bala tentera dengan kelengkapan seolah-olah menghadapi peperangan yang besar. Berpuluh-puluh kereta perisai disediakan, lori water canon, gas pemedih mata, senjata, pelbagai jenis polis disediakan termasuk Pasukan Polis Hutan dan segala macam kelengkapan lain.

Anggota polis berpecah kepada dua kumpulan akibat berlainan maklumat yang diterima mengenai siapa sasaran dalam operasi ini. Ada yang mendapat maklumat, mereka akan menggempur perkampungan saki baki Komunis dan ada yang mendapat maklumat mereka akan menghadapi kumpulan pemberontak kerajaan. Namun, atas arahan dari pemimpin tertinggi pasukan polis yang mesti ditaati, mereka akur juga walaupun ada yang mengetahui bahawa dihadapan mereka bukanlah Komunis. Selepas kejadian, maklumat diterima bahawa pada malam serangan ingin dilakukan iaitu malam 18 Nov tersebut, sebahagian anggota polis bersuka ria dan berpesta besar di sebuah balai polis di Negeri Kedah. Antara anggota polis yang terlibat didalam operasi ini termasuklah dikalangan mereka yang bukan beragama Islam.

Antara watak utama dibelakang operasi yang disebut ‘Ops Komunis’ ini, Musa Hitam (Tim.PM), Dato’ Yahya Yeop (pemimpin tertinggi Polis Negeri Kedah) dan Dr.Mahathir sendiri . Mereka inilah yang memainkan peranan utama bagi memastikan tertangkapnya Ust Ibrahim Libya pada tarikh tersebut.

Keesokannya harinya, tanggal 19 Nov 1985, selesai Solat Subuh, Ust Ibrahim terus memberikan taujihat penuh bermakna kepada para pendokong perjuangan yang terdiri dikalangan anak-anak muridnya yang setia dengan majlis-majlis ilmu beliau. Antara lain, beliau mengingatkan kepada ahli jama’ah supaya jangan ada yang lari dari perjuangan yang sedang dihadapi ini serta menyebut mengenai kelebihan mati syahid. Seluruh ahli jama’ah semakin kuat azam dan tekad untuk tidak menyerahkan Ust Ibrahim kepada pihak pemerintah. Mereka rela mati demi mempertahankan As-Syahid.

Antara mereka yang rapat dengan Ust Ibrahim ialah Sdr. Yusuf Husein dan Pak Teh Mat Piah (sudah meninggal). Mereka inilah antara yang kerap melakukan rundingan dengan pihak keselamatan pada hari tersebut agar mengelakkan berlakunya pertumahan darah khasnya orng ramai. Namun, Ust Ibrahim tegas dengan pendiriannya untuk tidak menyerahkan dirinya kepada kerajaan yang zalim kerana baginya, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan atau jenayah. Tugasnya hanya memberi nasihat kepada pemerintah yang begitu kuat menganut fahaman Nasionalisme dan Sekularisme yang bertentangan dengan Islam.

Berita kehadiran anggota polis untuk menangkap Ust Ibrahim akhirnya berjaya dihidu oleh pasukan tentera Malaysia yang berada di Negeri Kedah. Bahkan dikalangan mereka juga terdapat anggota-anggota yang sering mengikuti pengajian-pengajian agama daripada Ust Ibrahim. Beberapa orang dikalangan mereka akhirnya bergegas ke Kg. Memali dan memberikan peringatan kepada pasukan polis agar mengelakkan serangan. Dengan bilangan mereka hanya beberapa orang membuatkan pihak polis tidak mempedulikan. Dikalangan anggota tentera ini ada yang menyebut, “ingat ! hari ini hari kamu. Boleh jadi satu masa nanti kita akan bertempur." Lalu mereka meninggalkan tempat tersebut.

Setelah dilihat Ust Ibrahim enggan lagi bertemu mereka, akhirnya orang kampung diberi arahan agar berundur ke belakang. Serangan akan dilancarkan. Namun, untuk menerima arahan tersebut tidak semudah itu. Penduduk kampung yang terdiri dikalangan orang tua, kaum ibu, pemuda, wanita dan anak kecil dengan penuh keberanian melaungkan kalimah ‘Allahu Akbar’ berkali-kali bagi menggerunkan pihak musuh. Parang panjang yang sering digunakan dikebun untuk tugasan harian, digenggam erat bagi menghadapi kemungkinan-kemungkinan. Ibu-ibu dengan parang dan buluh-buluh panjang menghalau pasukan polis. Anak-anak kecil yang masih tidak mengerti apa itu perjuangan menghadapi pasukan polis bersenjatakan parang dan pisau.

Pihak keselamatan yang panik akhirnya melepaskan gas pemedih mata dan water canon ke arah orang kampung yang kukuh berdiri tidak mahu berganjak. Seorang kanak-kanak terkena serangan tersebut lalu pengsan dengan mulutnya yang berbuih. Melihat anak kecil tersebut menjadi mangsa, lantas seorang penduduk yang dikenali dengan panggilan Cikgu Shafi’e nekad untuk melakukan serangan balas. Parang ditangan digenggam dan terus berlari ke arah anggota polis. Subhanallah. Belum sempat parangnya singgah ke tubuh anggota polis tersebut, sebutir peluru terus menembusi dadanya. Cikgu Syafi’e menjadi korban pertama tragedi tersebut.
Jerit pekik penduduk semakin kuat apabila serangan bertalu-talu dari kereta perisai polis dilakukan. Seorang demi seorang tumbang menerima hadiah peluru dari Kerajaan Barisan Nasional. Rumah Ust. Ibrahim dirempuh kasar. Akhirnya peluru menghinggapi juga tubuh ulama’, pendakwah dan pemimpin gerakan Islam ini. Diatas ribaan isterinya, beliau menghembuskan nafas. Beliau sempat bertanya, “abang kena apa?”. Si isteri menjawab, "abang ditembak."

Menjelang waktu Zohor, hujan renyai-renyai turun membasahi Kg. Memali. Hujan rahmat yang turun sebagai saksi kezaliman pemerintah yang rakus mengahdapi rakyat yang serba kekurangan. Operasi pembersihan dilakukan segera agar bau bangkai jenayah mereka dapat ditutup dari pengetahuan rakyat Malaysia. Mangsa yang terkorban diangkut ke dalam trak-trak polis. Didalamnya turut dimuatkan beberapa ekor anjing buat menemani para syuhada'. Ada penduduk kampung yang tercedera disepak terajang. Mereka menyebut, “ada lagi yang belum mati". Semua penduduk kampung disumbat ke dalam trak polis untuk dibawa ke balai. Yang cedera dibawa ke hospital. Maklumat dijaga agar tidak sampai kepada media atau orang ramai. Tahanan diugut agar merahsiakan kejadian.

Beberapa hari kemudian barulah mereka dibebaskan. Jenazah dipulangkan semula dengan bilangan korban seramai 14 orang semuanya. Maka bermulalah perbalahan diantara pihak berkuasa agama (Majlis Fatwa Kebangsaan) dengan penduduk. Mereka mendakwa Ust Ibrahim Libya dan 13 yang lain mati sebagai Syuhada’ dan perlu diuruskan sebagai orang mati syahid. Pandangan ini diambil dari tuan-tuan guru di pondok-pondok Negeri Kedah yang melihat bahawa mereka ini mati kerana mempertahankan agama dan nyawa mereka. Bagi pihak berkuasa agama dibawah pemerintah, mereka terus ditekan untuk mendakwa Ust Ibrahim dan lain-lain mati sebagai Bughah (penderhaka kerajaan Islam) dan wajib diurus sebagai orang mati biasa. Penduduk tetap dengan keyakinan mereka. Akhirnya para korban diurus sebagai syuhada’ dengan tidak dimandikan beserta pakaian mereka yang masih basah dengan darah yang terus mengalir walaupun telah beberapa hari ditembak.

Sehingga hari ini, kes ini yang telah beberapa kali dibawa ke mahkamah sunyi sepi tidak berbunyi lagi. Kes yang masih berada di dalam fail mahkamah ini tidak dipedulikan oleh Menteri Penerangan Malaysia (sebelum ini) iaitu Dato’ Zainudin Maidin. Beliau memperalatkan beberapa klip video tragedi Memali ini untuk menyerang PAS sebagai gerakan ekstremis, radikal, militan dan sebagainya selepas pasca 11 Sept 2001 dengan menggambarkan orang PAS menyerang anggota keselamatan. Hari ini (9/1/2011), genap 25 tahun tragedi Memali yang meragut nyawa mereka yang tidak bersalah dan mencederakan beberapa anggota polis yang memang mereka ini tidak tahu pun tujuan sebenar dihantar ke sana pada tarikh tersebut. Mereka tidak bersalah. Bahkan seorang demi seorang orang kampong yang sepatutnya menjadi saksi dimahkamah untuk memfailkan saman kepada kerajaan Barisan Nasional kini telah menghadap Allah s.w.t.

Selepas kejadian tersebut, setiap tahun PAS mengadakan sambutan memperingati Tragedi Memali. Saban tahun juga ada sahaja anggota polis yang secara diam-diam menyalurkan sumbangan kepada PAS, kepada balu-balu syuhada’ dan memohon kemaafan atas kesilapan mereka. Melihat kepada situasi anggota polis yang sangat sedih dan terkilan dengan kejadian ini yang bukan dengan kerelaan mereka dan sangat terharu dengan sambutan memperingati syuhada’ ini , akhirnya atas nasihat dari pimpinan, sambutan yang berjalan beberapa tahun tersebut dihentikan. Wallahua'lam.

Al-Fatihah Untuk Para Syuhada' Memali

Ke Makam Bonda - UNIC

Unic - Lafaz Yang Tersimpan

Sebuah Pertemuan

ZINNIRAH

Hafiz Hamidun - Andaiku DisisiMu




Hayati lagu ini, bait demi bait perkataan... carilah maknanya...

Saturday, January 1, 2011

Ayuh Bersatu!!!-Eratkan Ukhwah,Perkasakan Dakwah

Assalamualaikum wbt,


Allah swt telah menegaskan bahwa orang-orang yang beriman adalah bersaudara dan persaudaraan itu di asaskan di atas dasar iman sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Qur'an :

"Orang-orang yang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Maka oleh itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat". (QS Al Hujuraat : 10)

Di dalam kehidupan bersaudara ini, Rasulullah saw memperdalamkan lagi penjelasan agar seorang mukmin dengan orang mukmin yang lain boleh bekerjasama dan saling memberi dan mengisi.

Bahkan beliau mengibaratkan kesatuan orang-orang mukmin secara idealnya menyerupai satu tubuh, sebagaimana sabda beliau;

"Perumpamaan kaum mukminin dalam berkasih-sayang dan saling mencintai, bagaikan satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuh sakit, maka seluruh tubuh merasa demam dan tidak boleh tidur."

Namun jika kita memperhatikan realiti umat Islam hari ini, idealisma yang digambarkan oleh Al-Qur'an dan Hadist tersebut ternyata jauh panggang dari api bahkan mungkin sukar untuk direalisasikan.

Bahkan yang berlaku adalah sebaliknya, iaitu di antara umat Islam, timbul berbagai perselisihan dan perpecahan.

Tentulah perkara ini menjadi sebuah fenomena yang cukup memperihatinkan kerana di satu sisi, umat Islam ketika ini perlu berhadapan dengan berbagai masalah kehidupan, namun di sisi lain, mereka berpecah-belah dan bercera-berai.

Akibat secara langsungnya tentulah menjadikan umat Islam tidak efektif dalam usahanya untuk mengatasi berbagai masalah kehidupan ini dan semakin tidak berdayanya usaha untuk memajukan umat ini.

Mengingatkan perintah Allah agar kita bersaudara sesama kita di samping sentiasa memperbaiki tahap persaudaraan itu, maka selayaknya setiap mukmin memperhatikan persoalannya dalam isu persaudaraan ini.

Mengapa umat Islam kini berpecah belah, lalu apakah langkah-langkah untuk menghadapi situasi yang cukup kritikal ini.

Al-Qur'an ketika menyebutkan bahwa kaum mukminin bersaudara dan memerintahkan untuk memperbaikinya telah pula memberikan resipi untuk usaha ke arah itu.

Dalam surah Al Hujuraat, Allah swt memaparkan 7 cara bagi kita untuk mengelakkan virus-virus penyakit dari menggigit ukhuwah yang boleh menghancurkan saf ukhuwah yang telah dibina.

1. "Tabayyun"

"Tabayyun" bererti mencari kejelasan informasi dan mencari bukti kebenaran informasi yang diterima.

Allah swt berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa berita maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (QS Al-Hujuraat : 6)

"Tabayyun" memiliki nilai tersendiri untuk menghindarkan dari segala tindakan di atas dasar prasangka. Prasangka boleh jadi benar dan boleh pula salah.

Jika ketepatan sebuah prasangka itu salah, sementara seseorang sudah bertindak, maka tindakan itu tidak mampu untuk dihapuskan selama-lamanya.

Untuk itulah, jika ada berita dari seseorang yang fasik, yang keperibadiannya meragukan, maka perlu diperiksa dan dinilai berulang kali agar kelak tidak menyesal dengan keputusan yang diambil.

2. Tidak memperolok-olokkan orang atau kelompok lain.

Firman Allah swt :

"Wahai orang-orang yang beriman janganlah satu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang memperolok-olokkan) ." (QS Al Hujuraat :11)

Ketika ini terdapat banyak kelompok atau organisasi dakwah. Perlu kita sedari bahwa di antara kelompok-kelompok dakwah tersebut terdapat perbezaan samada yang prinsip mahupun yang bukan prinsip. Perbezaan dalam menentukan sasaran tertinggi termasuk dalam masalah prinsip.

Keadaan ini akan menarik kepada suasana persaingan yang kadang-kadang bentuknya tidak sihat. Persaingan ini akan semakin tidak sihat dengan timbulnya elemen-elemen yang mudah untuk melontarkan ungkapan-ungkapan yang bernada cemohan dan cercaan antara mereka.

Dr Yusuf Al Qardhawi menyebutkan dalam salah satu tulisannya bahwa berhimpunnya kelompok-kelompok dakwah dan harakah yang ada di bumi sekarang ini adalah suatu mimpi indah. Maka kesatuan "wala'" (kesetiaan) dan tumbuhnya suasana bekerjasama dalam menghadapi konspirasi para thaghut adalah sesuatu yang tidak boleh ditawar-tawar lagi.

Secara realitinya, walaupun keadaan ini belum benar-benar dapat diwujudkan disebabkan ada beberapa perkara yang belum boleh kita lakukan, namun tidak mampukah kita sekadar meninggalkan tradisi memperolokkan- olokkan sesama kita dan perasaan "aku lebih baik daripadanya" seperti yang dinyatakan oleh iblis???

3. Tidak mencela orang lain.

Ini ditegaskan oleh Allah swt dengan firman-Nya:

"Dan janganlah kamu mencela diri sendiri".

Di dalam ayat ini, mencela sesama muslim dianggap sebagai mencela diri sendiri kerana pada hakikatnya kaum muslimin dianggap sebagai satu kesatuan. Apalagi jika celaan itu adalah berkait dengan masalah status dan ukuran kebendaan.

Allah swt sendiri menyuruh Rasulullah saw dan orang-orang yang mengikutinya untuk bersabar atas segala kekurangan orang-orang mukmin.

"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru tuhannya di waktu pagi dan petang hari dengan mengharap keridhaanNya. " (QS Al-Kahfi : 28)

4. Meninggalkan panggilan dengan sebutan-sebutan yang tidak baik terhadap sesama muslim.

Ini berdasarkan firman Allah swt :

"Dan janganlah kamu saling memanggil dengan sebutan-sebutan (yang buruk)." (QS Al-Hujuraat : 11)

Sebutan yang tidak baik akan menyebabkan orang yang disebut itu terhiris hatinya. Jika hati sudah terhiris, maka persaudaraan pasti akan retak. Oleh kerana itulah penyebutan nama atau pelabelan seseorang dengan nama yang tidak baik akan merosakkan persaudaraan.

Gelaran dalam bentuk yang paling parah adalah berupa pengkafiran terhadap orang yang beriman. Dalam kenyataan dewasa ini, masih sahaja wujud orang atau kelompok yang dengan begitu mudahnya menuduh kafir kepada orang yang tidak tertarik untuk masuk ke dalam kelompok mereka.

Sama juga dalam pengertian ini adalah pemberian gelaran-gelaran yang buruk kepada sesama kaum muslimin seperti penamaan gelaran Wahabi, Khawarij, teroris, fundamentalis dan berbagai sebutan yang bernada negatif adalah termasuk ke dalam makna ayat ini.

5. Menjauhi PrasangkaAllah swt berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan dari prasangka, kerana sebahagian prasangka itu dosa." (QS Al-Hujuraat :12)

Pada dasarnya seorang muslim mesti berbaik sangka terhadap sesama muslim yang lain.

Dalam setiap permasalahan dengan sesama muslim, hendaklah menghadapinya dengan sangkaan yang positif dan ketika adanya bukti yang jelas tentang kesalahan tersebut barulah seseorang itu boleh mengambil sikap.

Namun sebaliknya, kepada orang kafir dan musuh Islam, kaum muslimin mesti menaruh rasa curiga apabila mereka bermanis muka dan berbudi.Allah swt sendiri menegaskan :

"Sesungguhnya orang-orang kafir menginfakkan harta-harta mereka untuk menghalangi manusia dari jalan Allah." (QS Al-Anfal : 36)

Buruk sangka adalah salah satu cara syaitan mencerai-beraikan Bani Adam.

Dalam sebuah hadits dari Ummul Mukminin Shafiyah binti Huyai, dia bercerita :

"Rasulullah saw pernah i'tikaf di masjid, lalu aku datang menjenguk beliau pada suatu malam untuk berbincang-bincang dengan beliau. (Setelah selesai) aku pun bangkit untuk kembali dan beliau pun bangkit bersamaku untuk menemani. Ketika itu lewatlah dua orang laki-laki Anshor ra. Tatkala mereka melihat Rasulullah saw, mereka pun mempercepatkan langkahnya. Rasulullah saw pun berseru : "Perlahanlah! Wanita ini adalah Shafiyah!" Dua orang itu pun berkata : "Subhanallah, ya Rasulullah!" Maka Rasulullah saw bersabda : "Sesungguhnya syaitan menjalar pada diri Adam pada aliran darah dan sungguh aku khuatir syaitan akan melemparkan kejahatan pada hati kamu berdua (ketika melihat aku) lalu terucaplah sesuatu." (HR Bukhari)

6. Tidak mencari-cari kesalahan dan aurat orang lain.

Perbuatan ini amat dicela oleh Islam. Allah swt amat suka bila kita berusaha menutup aib saudara kita sendiri.

Firman Allah swt :

" Dan janganlah kamu sekelian mencari-cari kesalahan (dan aurat) orang lain." (QS Al-Hujurat : 12)

Demikianlah di dalam Islam, Allah mengajarkan agar umat islam tidak suka mengintai-ngintai saudaranya.

Tersebut sebuah kisah di kalangan sahabat di mana seseorang menemui Abdullah bin Masud dan berkata, "Itu Walid bin Uqbah dan dari janggutnya menitis khamar." Ibnu Masud berkata, "Kita dilarang ber'tajassus' . Jika memang nampak jelas suatu kemaksiatan, barulah kita mengambil sikap."

Adalah jelas di kalangan para sahabat, bagi tujuan kepentingan masyarakat Islam, mereka sanggup meninggalkan perbuatan mengintai-ngintai.

Namun yang berlaku dewasa ini, ramai orang yang mengaku Islam dengan berlindung di sebalik penelitian ilmiah lalu mengamati dan menilai orang atau kelompok lain dan akhir kesudahannya adalah semata-mata bertujuan merendah-rendahkan dan mengurangkan keyakinan masyarakat kepada orang atau kelompok tersebut.

Semua tindakan tersebut adalah dilarang dan hanya akan merosakkan ukhuwah atau persaudaraan.

7. Menjauhi "ghibah" atau mengumpat.

Allah swt menegaskan :

"Dan janganlah kamu sekelian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?…"

Definasi "ghibah", sebagaimana yang telah disebutkan oleh Rasulullah swt adalah :

"Ghibah itu kamu menyebut saudaramu tentang apa-apa yang dia tidak suka. Mereka bertanya, Ya Rasulullah, bagaimana pendapatmu jika yang ada pada saudaraku itu seperti yang aku katakan?, Rasulullah menjawab, Jika padanya seperti yang kamu sebutkan, itulah yang dinamakan "ghibah". Dan jika tidak ada padanya maka bererti kamu telah menuduhnya." (HR Muslim)

Dari riwayat hadits di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahwa ketika seseorang menceritakan keburukan orang lain, maka ada dua kemungkinan yang berlaku :

Pertama, jika yang diceritakannya benar-benar berlaku maka itulah "ghibah".

Kedua, jika yang diceritakannya itu tidak berlaku bererti ia telah memfitnah orang lain.

Begitu besarnya dosa mengumpat, sehingga Allah swt menyamakan orang yang melakukannya dengan orang yang memakan bangkai saudaranya sendiri.

Meskipun Al-Qur'an sudah menjelaskan betapa besarnya dosa mengumpat, namun kita lihat banyak program televisyen yang berasaskan "gossip" atau mengumpat di samping majalah-majalah picisan kini amat diminati oleh masyarakat.

Jika sekadar menggambarkan peribadi seseorang sahaja itupun sudah mendapat teguran keras daripada Rasulullah saw, lalu bagaimana dengan menyebutkan sesuatu yang lebih buruk dari itu?

Alangkah hinanya gambaran mereka-mereka yang terlibat dengan aktiviti "ghibah"atau mengumpat ini.

Ya Allah, berilah kekuatan iman kepada kami untuk kami memperkukuhkan ukhuwah di kalangan umat Islam dan menjadikan usaha pengislahan sesama kami sebagai jalan penyelesaian kepada keutuhan ukhuwah. Mudahkanlah kami dalam mencerna dan melaksanakan tujuh cara yang Engkau telah tetapkan dalam Al-Qur'an bagi mengelakkan ukhuwah dari dirobek-robekkan serta menjadikan ukhuwah teras kegemilangan umat Islam.

Ameen Ya Rabbal Alameen

http://muslimeenarts.blogspot.com/